Sunday, January 9, 2011

Kek asas (Sponge Cake)

Kek yang paling asas adalah kek span (sponge cake). Ataupun dipanggil genoise (nama genoise diambil sempena kota Genoa di Itali). Tidak diketahui mengapa, tetapi berkemungkinan kek span berasal dari kota Genoa, walaupun orang Perancis yang mempopularkannya.

Kek span boleh dibuat menggunakan sponge mix atau secara manual, from scratch! Disini saya akan menerangkan bagaimana membuatnya secara manual.

Anda memerlukan bahan-bahan berikut:

4 biji telur
100 g gula
100 g tepung gandum (plain flour)
20 g mentega (dicairkan)

Alatan yang perlu ada:

1) Pemutar belon (balloon whisk) atau mixer atau hand mixer
2) Senduk
3) Oven

Cara-caranya:

1) Putar@pukul telur dan gula sehingga kembang. Ini mengambil masa beberapa minit (5-10 minit bergantung kepada speed yang anda gunakan). Jika menggunakan tangan, tentunya mengambil masa yang lebih lama. Kembang di sini bermaksud; bancuhan tersebut menjadi likat, putih dan berganda (2-3 kali ganda).

Apa yang berlaku apabila anda memukul telur ialah; anda sebenarnya memasukkan udara ke dalam molekul telur menjadikan ianya kembang seperti foam atau span. Sebab itulah ia dipanggil kek span!
















Ribbon stage
(gambar)
Ini adalah peringkat di mana bancuhan anda sudah cukup kembang dan boleh berhenti memukul. Bancuhan akan kelihatan likat sehingga ia boleh menampung beratnya sendiri apabila anda boleh membuat garisan-garisan menggunakan bancuhan di atas permukaan.

2) Ayak tepung dan gaulkan bersama bancuhan tadi, sedikit demi sedikit. Tepung diayak supaya tidak ada ketulan tepung di dalam kek anda nanti! Pada peringkat ini, gunakan low speed (jika menggunakan mixer) atau gunakan senduk sahaja. Terlebih menggaul menyebabkan gluten daripada tepung terhasil menyebabkan kek tidak naik. Gluten adalah elemen penting dalam pembuatan roti. Jadi, sekiranya bancuhan anda 'liat', sudah pasti kek tidak naik apabila dibakar. Proses ini memakan masa 30 saat hingga seminit sahaja. Cukup sekadar memastikan tidak ada bekas-bekas tepung dalam bancuhan (digaul sempurna).

3) Gaulkan mentega (butter) cair. Proses ini juga memakan masa yang singkat (lebih singkat daripada menggaul tepung tadi) . Terlebih menggaul menyebabkan molekul-molekul menjadi terlampau 'licin' kerana adanya mentega. Jadi, ia akan 'turun ke bawah' (slipped) menyebabkan kek tidak naik apabila dibakar. Mentega berfungsi sebagai pelincir.

4) Masukkan ke dalam acuan dan bakar pada suhu 175-180C, kira-kira 20-30 minit (atau sehingga permukaan kelihatan gelap sedikit). Tempoh membakar ini bergantung kepada jenis oven (conventional atau convection oven). Pastikan anda memanaskan oven terlebih dahulu untuk mendapatkan suhu yang dikehendaki (iaitu 175-180C) sebelum memasukkan kek.

Apa yang berlaku ketika pembakaran ialah; udara yang terperangkap semasa proses (1) tadi mengembang dan menolak molekul-molekul ke atas, mengikut bentuk acuan, menyebabkan kek 'naik'. Pengembangan ini akan berhenti apabila gula dan tepung menjadi 'keras' dan kering. Peringkat ini kek dikira masak.

1 comment:

  1. Hi..

    Nak tanya sedikit.. boleh ke menghias kek span ini mengunakan sugarpaste?

    Tq..

    ReplyDelete